Friday, April 23, 2010

Bung Moktar di Semuka


Alhamdulillah, rancangan Semuka akan mula bersiaran pada 2 Mei ini, pukul 9.01 malam. Rancangan temubual mingguan ini akan menampilkan personaliti tajuk berita negara, sekaligus memberi peluang kepada khalayak untuk berinteraksi dengan tamu undangan kamu mengenai apa jua soalan.
Anda dibenarkan mengemukakan soalan, pandangan atau komen juga kritikan (secara berhemah) melalui medium yang disediakan seperti dalam blog ini, Facebook atau menghantar e-mel. Pandangan anda boleh dihantar secara bertaip atau melalui rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook atau blog kami.
Bagi rancangan sulung, kami telah menjemput Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah untuk berdepan dengan pengacara di studio, Dangsuria Zainurdin dan anda selaku khalayak kami. Untuk makluman, beliau merupakan antara Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak kurang hebat kontroversi dan lantang semasa sidang Dewan Rakyat, selain daripada mencetuskan sensasi apabila bernikah dengan pelakon, Zizie.
Atas kesempatan ini, kami menjemput anda mengemukakan soalan, komen dan pandangan mengenai beliau sama ada mengenai peribadi, mahupun kerjaya politik.
Bung Mokhtar dipilih menjadi tamu disebabkan beliau sering menjadi tajuk-tajuk berita, sama ada politik atau kisah peribadinya. Maka, ini merupakan peluang terbaik anda untuk mengemukakan pertanyaan atau ulasan mengenai kontroversi yang dicetuskan seperti beberapa insiden di Dewan Rakyat. Selain itu, anda boleh bertanya mengenai pernikahannya dengan pelakon, Zizie serta pendakwaan di mahkamah berhubung perkahwinannya itu, atau bagaimana pengalaman beliau menjadi suami kepada dua wanita.
Andai tidak pun, anda berpeluang untuk mengenali beliau secara lebih rapat di sebalik kontroversi dan perihal sensasi beliau seperti perkembangan kerjaya politiknya. Jika anda mengenali beliau sejak zaman kanak-kanak atau remaja, ini peluang terbaik anda untuk berbicara dengan Bung Mokhtar.
Penyertaan anda dalam rancangan terbaru Astro Awani dialu-alukan dan ini peluang anda untuk menjadi pengacara tidak rasmi dengan mengemukakan soalan, komen dan pandangan.
Sekian, selamat menonton!

No comments:

Post a Comment