Tuesday, April 27, 2010

Maaf, tangguh sekali lagi

Kami memohon maaf atas penangguhan rancangan terbaru terbitan saluran berita, Astro Awani iaitu Semuka hingga ke tarikh yang akan dimaklumkan nanti. Penangguhan ini dibuat bagi memberi laluan kepada persedian yang lebih rapi dan demi memastikan rancangan ini menjadi satu lagi program bual bicara terbaik untuk khalayak Astro Awani. Kami menjanjikan satu dimensi baru dalam rancangan bual bicara melalui Semuka, yang akan mempertemukan anda dengan tamu undangan yang menjadi tajuk berita.
selain perantara di studio, Dangsuria Zainurdin, khalayak dan peminat berpeluang mengemukakan soalan, komen atau pandangan terhadap tamu di studio. Anda boleh menghantar komen atau soalan melalui emel atau merakamkan dalam bentuk video yang kemudian dimuat naik melalui pelbagai platform seperti emel, Facebook dan blog.

Friday, April 23, 2010

Bung Moktar di Semuka


Alhamdulillah, rancangan Semuka akan mula bersiaran pada 2 Mei ini, pukul 9.01 malam. Rancangan temubual mingguan ini akan menampilkan personaliti tajuk berita negara, sekaligus memberi peluang kepada khalayak untuk berinteraksi dengan tamu undangan kamu mengenai apa jua soalan.
Anda dibenarkan mengemukakan soalan, pandangan atau komen juga kritikan (secara berhemah) melalui medium yang disediakan seperti dalam blog ini, Facebook atau menghantar e-mel. Pandangan anda boleh dihantar secara bertaip atau melalui rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook atau blog kami.
Bagi rancangan sulung, kami telah menjemput Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah untuk berdepan dengan pengacara di studio, Dangsuria Zainurdin dan anda selaku khalayak kami. Untuk makluman, beliau merupakan antara Ahli Parlimen Barisan Nasional yang tidak kurang hebat kontroversi dan lantang semasa sidang Dewan Rakyat, selain daripada mencetuskan sensasi apabila bernikah dengan pelakon, Zizie.
Atas kesempatan ini, kami menjemput anda mengemukakan soalan, komen dan pandangan mengenai beliau sama ada mengenai peribadi, mahupun kerjaya politik.
Bung Mokhtar dipilih menjadi tamu disebabkan beliau sering menjadi tajuk-tajuk berita, sama ada politik atau kisah peribadinya. Maka, ini merupakan peluang terbaik anda untuk mengemukakan pertanyaan atau ulasan mengenai kontroversi yang dicetuskan seperti beberapa insiden di Dewan Rakyat. Selain itu, anda boleh bertanya mengenai pernikahannya dengan pelakon, Zizie serta pendakwaan di mahkamah berhubung perkahwinannya itu, atau bagaimana pengalaman beliau menjadi suami kepada dua wanita.
Andai tidak pun, anda berpeluang untuk mengenali beliau secara lebih rapat di sebalik kontroversi dan perihal sensasi beliau seperti perkembangan kerjaya politiknya. Jika anda mengenali beliau sejak zaman kanak-kanak atau remaja, ini peluang terbaik anda untuk berbicara dengan Bung Mokhtar.
Penyertaan anda dalam rancangan terbaru Astro Awani dialu-alukan dan ini peluang anda untuk menjadi pengacara tidak rasmi dengan mengemukakan soalan, komen dan pandangan.
Sekian, selamat menonton!

Wednesday, April 14, 2010

Tangguh Lagi

Rancangan Semuka Awani ditangguhkan sekali lagi penampilan sulung kepada 2 Mei ini. Kami memohon berbanyak maaf atas kelewatan itu dan berharap para peminat Astro Awani (Saluran 501) bersabar. Melalui rancangan terbaru ini kami menjanjikan kesegaran persembahan dan nafas baru dalam program bual bicara televisyen di Malaysia. Kami akan mengajak anda, bersama-sama pengacara di studio, Dangsuria Zainurdin mengemukakan soalan, pertanyaan, pandangan dan komen terhadap tamu jemutan di studio. Semuka Awani menyediakan ruang untuk anda berinteraksi dengan tamu kami - yang mungkin merupakan selebriti atau orang kenamaan yang anda sanjungi. Sekian, terima kasih.

Friday, April 9, 2010

Semuka Awani bermula 18 April


Bagi khalayak Astro Awani (Saluran 501) yang biasa menonton rancangan bual bicara interaktif U-wartawan dan Temujanji, kami memperkenalkan satu rancangan bual bicara terbaru, Semuka Awani. Seperti program bual bicara Temujanji yang menampilkan personaliti terkemuka negara, Semuka Awani menampilkan news maker atau personaliti daripada pelbagai bidang.
Anda sebagai khalayak kami boleh menjadi pengacara bersama pengacara tetap, Dangsuria Zainurdin dengan mengemukakan soalan atau berkongsi pandangan mengenai tamu jemputan nanti. Soalan atau pandangan anda boleh dikemukakan melalui saluran penghubung interaktif seperti Facebook.Com/Semuka Awani, melalui laman blog ini atau emel: semuka.awani@gmail.com dan menelofon kami. Anda juga digalakkan membuat kiriman video dengan melakukan muat naik di blog, e-mel atau facebook.